Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog MOHD FAIDZ MASSARI

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

KPDNKK harus bertindak - PM

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang bertindak menaikkan harga secara melampau.

Dato' Sri Najib Razak Bersama ribuan rakyat Malaysia dan luar negara yang menyambut perayaan Thaipusam 2014 di Batu Cave.
Jelas Perdana Menteri, tindakan tegas itu perlu diambil segera bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab para peniaga yang hanya tahu mengambil kesempatan di sebalik kenaikan beberapa harga barang.

Pada masa yang sama beliau juga meminta rakyat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan kuasa mereka sebagai pengguna untuk tidak membeli barangan atau makanan di kedai yang menaikkan harga sesuka hati, sebagai tanda memberi tekanan.

"Saya telah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menggunakan apa sahaja akta yang ada kerana kita tidak mahu rakyat berasa tidak selesa. Kalau ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan secara tidak bertanggungjawab, keluarkan surat (saman) dengan segera.

"Kita faham soal mahu meraih keuntungan tetapi kadar harga mesti munasabah dan bukan dinaikkan secara keterlaluan," katanya semasa berucap dalam majlis Makan Malam Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dan Pengerusi Koperasi Kimma (Kopkimma), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Nizam.

Sempena majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Kopkimma dengan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) bagi membuka cawangan perniagaan gadaian emas Ar-Rahnu di Jalan Masjid India di sini.

Selain itu pelbagai anugerah juga disampaikan Perdana Menteri kepada pemimpin Kimma dan antara yang menerima anugerah tersebut ialah Timbalan Pengerusi Kimma Wilayah Persekutuan, Abdul Malik Dasthigeer, selaku usahawan muda contoh.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang secara sengaja bertindak mempersendakan penjelasannya ketika beliau menjadikan harga kangkung yang tidak naik harga.

"Saya ambil contoh kangkung kerana ia sayur yang semua rakyat makan. Bukan saya tidak boleh bagi contoh lain tapi kalau saya jadikan harga burung puyuh tidak semua rakyat makan burung puyuh. Tetapi ada pihak yang sengaja mempersenda (kenyataan saya)," katanya.
Sabtu, 18 Januari 2014
Entri oleh: Unknown
Tag :
Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

4,645 kes berjaya selesai hutang

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Sebanyak 4,645 kes kegagalan pengurusan hutang membabitkan nilai RM182.7 juta telah berjaya dikeluarkan daripada masalah tersebut.

Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dengan isterinya, Emine Erdogan, tiba di KLIA, disambut oleh Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin (kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan (kiri) baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 100,871 kes yang telah dibantu oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kes yang dibantu melalui program berkenaan dengan yang tertinggi ialah perancangan kewangan yang lemah sebanyak 22.8 peratus diikuti memperuntukkan perbelanjaan perubatan yang tinggi sebanyak 18.1 peratus.

Selain itu, jelasnya, sebanyak 15.3 peratus pula berpunca daripada kegagalan dalam perniagaan serta 11.1 peratus akibat daripada penggunaan kad kredit tidak terkawal.

"Golongan lelaki paling ramai memohon bantuan menerusi program ini iaitu 60,359 orang berbanding 29,725 wanita dan kebanyakan mereka berusia 40 tahun ke bawah.

"Masih ramai belum mengetahui mengenai kewujudan AKPK yang boleh membantu menguruskan kewangan mereka secara percuma dan sehingga kini seramai 248,491 telah datang berjumpa dengan agensi tersebut sejak ditubuhkan pada tahun 2006," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke AKPK di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, hutang isi rumah di negara ini masih tidak mencapai tahap merunsingkan walaupun mencatatkan jumlah RM839.6 bilion atau 85.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat November tahun lalu.

Katanya, hal ini demikian kerana kadar hutang tidak berbayar (NPL) yang dicatatkan hanya berjumlah 1.4 peratus.

"Paling banyak menyumbang hutang ialah pinjaman perumahan iaitu 44.3 peratus, pinjaman pembelian kereta (17.3 peratus) manakala hutang peribadi (16.8 peratus).

"Jumlah hutang isi rumah negara ini jauh lebih rendah daripada negara-negara lain dan perkara itu tidak membimbangkan kerana sebanyak 98.6 peratus pemiutang tidak ada masalah dalam pembayaran balik," katanya.
Entri oleh: Unknown

Sasar jualan kraf RM430j sempena TMM 2014

SUNGAI SIPUT 17 Jan. - Kraftangan Malaysia menyasarkan peningkatan hasil jualan kraf tempatan kepada RM430 juta tahun ini berbanding RM400 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan jangkaan peningkatan kedatangan pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

“Kita yakin sasaran itu boleh dicapai kerana selain pelancong asing, Kraftangan Malaysia turut menyasarkan masyarakat tempatan sebagai pelanggan," katanya selepas majlis Penyampaian Sijil Latihan Jangka Pendek (LJP) Seramik dan Tekatan di Pusat Kraftangan Perak, Enggor kepada 25 orang peserta di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad yang menyampaikan sijil kepada peserta dan Pengarah Kraftangan Perak, Mohd. Noor Effendy Abdul Karim.
Entri oleh: Unknown
Tag :

MRT akan agih pakej kerja RM3 bilion

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), masih mempunyai baki 20 peratus atau 17 pakej kerja projek MRT bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang, bernilai RM3 bilion.

Daripada 17 pakej kerja itu, lapan daripadanya dalam proses tender yang membabitkan kerja-kerja berkaitan stesen dan peralatan stesen MRT.

Setakat ini, MRT Corp telah menganugerahkan sebanyak 69 pakej kerja daripada 86 pakej kerja keseluruhan bagi projek MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang kepada 10 kontraktor utama dengan nilai RM20 bilion.

Pakej kerja yang sudah dianugerahkan itu bersamaan 80 peratus daripada pakej kerja MRT keseluruhannya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Haris Fadzilah Hassan berkata, baki 17 pakej kerja itu akan ditawarkan secara berperingkat-peringkat kepada kontraktor-kontraktor utama tidak lama lagi.

Malah katanya, setakat ini, pembinaan laluan MRT sejauh 51 kilometer telah mencapai tahap siap sebanyak 33 peratus.

"Kemajuan pembinaan pada waktu ini adalah selari dengan jadual pembinaan yang telah ditetapkan.

"Pada waktu ini, kami masih boleh menampung kos perbelanjaan berikutan harga besi yang masih baik walaupun berlakunya peningkatan tarif elektrik bermula 1 Januari lalu,'' katanya pada majlis taklimat perkembangan projek MRT di tapak projek MRT Stesen Bukit Bintang sini hari ini.

Projek MRT yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM23 bilion mempunyai dua fasa iaitu Sungai Buloh ke Jalan Semantan bagi fasa pertama manakala dari Jalan Semantan ke Kajang bagi fasa kedua.

Fasa pertama projek MRT dijangka siap pada Disember 2016 manakala fasa kedua dijangka siap pada Julai 2017.

Tambah Haris Fadzilah, pihaknya juga telah menempah 58 set tren MRT dari Jerman.

Katanya, setiap set tren mempunyai empat gerabak yang mampu memuatkan lebih daripada 1,200 orang.

"Kami menjangkakan kekerapan perjalanan ialah 3.5 minit sekali yang memberi kemudahan pengangkutan yang pantas dan cekap kepada para penumpang,'' ujarnya.

Haris Fadzilah berkata, projek MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang ini dijangka memberi manfaat kepada 400,000 warga kota sehari.

Sehubungan itu jelasnya, masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota dijangka dapat dikurangkan menjelang 2017.
Entri oleh: Unknown

Bina bangunan paling tinggi

CHANGSHA, China 16 Jan. - Hasrat bilionair China, Zhang Yue untuk membina bangunan tertinggi di dunia setinggi 838 meter dalam tempoh kurang setahun telah mendapat kritikan hebat terutamanya dari segi keselamatan.

Sky City mempunyai ketinggian 10 meter mengatasi pemegang rekod dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa.
Namun, tycoon China berkenaan tetap mahu meneruskan hasratnya membina bangunan itu dengan pelaburan sebanyak AS$1.46 bilion (RM4.672 bilion).

Hal ini kerana beliau telah mempunyai rekod kejayaan membina bangunan menyerupai piramid mesir dan replika Versailles dalam tempoh enam bulan.

Kejayaan membina bangunan tinggi dalam tempoh yang singkat itu disokong oleh teknologi pembinaan pasang siap dan syarikat Yue, Broad Sustainable Building telah mencatat rekod dunia dengan membina hotel setinggi 30 tingkat dalam tempoh 15 hari di bandar Changsha.

Beliau berkata, bangunan yang akan diberi nama Sky City berkenaan mempunyai ketinggian 10 meter mengatasi pemegang rekod dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa yang mengambil masa lima tahun untuk dibina dengan kos AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).

"Kami merancang menyiapkan Sky City sebelum hujung tahun ini dan hasrat itu telah menerima tentangan yang hebat. Tidak ramai yang menyokong kami dan terlalu ramai yang dengki.

"Kami akan bina dulu baru mereka akan percaya," katanya kepada AFP.

Sumber rapat daripada pejabat Yue berkata, pekerja sedang bersemangat untuk menyediakan komponen bangunan berkenaan dan menegaskan tidak mempunyai masalah menggunakan teknologi pasang siap bagi membina Sky City.

"Kami boleh siapkannya sebelum Disember ini, malah mampu membina bangunan yang lebih tinggi lagi," kata pekerja-pekerja Yue.

Projek berkenaan telah dilancarkan tahun lalu tetapi dihentikan serta merta oleh pihak berkuasa Changsha kerana permit yang tidak lengkap.

Sementara itu, jurutera pakar bebas berkata, konsep Sky City akan berdepan dengan banyak masalah seperti, rekaan lif, sistem tebatan kebakaran dan kekukuhan struktur bangunan apabila siap.

Pengarah Bangunan Tinggi dan Kehidupan Bandar (CTBUH) iaitu sebuah majlis yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), Antony Wood berkata, beliau masih sangsi dengan projek berkenaan tetapi sangat menyanjung tinggi apa yang telah dilakukan oleh Broad Sustainable Building sebelum ini.

"Dalam masyarakat sekarang, jika kamu mahu melakukan sesuatu yang baik, tiada siapa akan percaya. Masyarakat kekurangan sifat kepercayaan dan sentiasa melihat sesuatu yang baik dari sudut negatif," jelasnya.

Yue yang ketika ini berumur 53 tahun, memulakan kerjayanya sebagai penjual produk pendingin hawa sehingga menjadi usahawan pertama China yang memiliki helikopter sendiri.

Beliau merupakan seorang yang rendah diri, makan bersama kakitangan di kantin yang sama, meludah ke dalam tisu tanpa malu semasa bercakap tetapi beliau sentiasa mempunyai visi untuk mengubah bandar-bandar di China.

Beliau juga seseorang yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata dalam setiap projeknya dan sangat mengambil berat mengenai alam sekitar.
Entri oleh: Unknown

ATF 2014 platform terbaik promosi Tahun Melawat Malaysia

KUCHING 17 Jan. - Forum Pelancongan ASEAN 2014 (AFT 2014), yang bermula di sini semalam merupakan peluang dan platform terbaik mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) bagi mencapai sasaran menarik 28 juta pelancong ke negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ATF ke-33 boleh membantu memastikan TMM 2014 bermula dengan cemerlang, manakala kehadiran media dan pembeli antarabangsa pula mampu melonjakkan publisiti acara itu ke peringkat antarabangsa.

"ATF di Kuching merupakan acara antarabangsa premier untuk menyambut TMM 2014, yang menampilkan segala yang terbaik tentang Malaysia ketika negara ini merayakan '1Malaysia Truly Asia," katanya dalam kenyataan bersempena forum itu di Kuching hari ini.
Entri oleh: Unknown
Tag :

11.4 juta rakyat Malaysia bekerja 2010

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Jumlah penduduk Malaysia yang bekerja berdasarkan banci penduduk dan perumahan 2010 (Banci 2010) ialah 11.4 juta berbanding 8.1 juta pada banci 2000, berlaku peningkatan sebanyak 40.9 peratus.

Bancian itu dijalankan bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2000 dengan mengambil kira profail umur rakyat Malaysia dari 15 tahun sehingga 64 tahun.

Menurut Laporan Ciri-Ciri Ekonomi Penduduk 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan penduduk lelaki yang bekerja telah menyusut sebanyak 4.2 peratus daripada 66.6 peratus pada 2000 kepada 62.3 peratus pada 2010.

Sebaliknya, peratusan penduduk perempuan yang bekerja telah meningkat daripada 33.5 peratus pada 2000 kepada 37.7 peratus pada 2010.

"Senario ini telah menunjukkan bahawa penglibatan golongan wanita di pasaran buruh semakin meningkat dalam tempoh sedekad,'' jelas laporan itu.

Laporan ciri-ciri ekonomi penduduk 2010 ini merupakan laporan keenam yang dikeluarkan dalam siri Laporan Banci 2010.

Laporan tersebut mengandungi data penduduk yang bekerja berumur 15 tahun sehingga 64 tahun mengikut pekerjaan dan industri serta taraf pekerjaan mereka.

Tambah laporan tersebut, penduduk bekerja di kawasan bandar pula telah meningkat daripada 66.6 peratus kepada 74.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kaji selidik yang dijalankan itu.

Hal ini seiring dengan peningkatan penduduk bandar kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada tahun 2000.

Bagi tempoh yang sama, peratusan penduduk bekerja di kawasan bandar bagi semua negeri juga telah meningkat.

Negeri Kedah mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 24.2 peratus diikuti Melaka (17.8 peratus) dan Perlis (15.2 peratus).

Bumiputera kekal mendominasi guna tenaga di Malaysia dengan peratusan 63.1 peratus, diikuti Cina (28.4 peratus) dan India sebanyak 7.8 peratus.

Trend ini berlaku disebabkan purata kadar pertumbuhan tahunan bumiputera adalah lebih tinggi berbanding kumpulan etnik lain di Malaysia.
Entri oleh: Unknown

Kerajaan sedia tambah baik SOSMA - Nancy

Nancy Shukri
KUCHING 17 Jan. - Kerajaan tidak akan menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi bersedia menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) jika terdapat kelemahan dalam undang-undang baharu itu bagi menjamin keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, undang-undang sedia ada itu akan diperkuatkan lagi berdasarkan maklum balas daripada pihak berkuasa yang menjalankan penguatkuasaan mengikut keperluan.

"Pendirian kerajaan amat jelas iaitu tidak akan mewujudkan semula ISA kerana kita telah mengambil kira dari pelbagai sudut sebelum akta itu dimansuhkan.

"Undang-undang ini (ISA) tidak akan digunakan bagi tujuan lain, politik atau pun kepentingan tertentu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di sini hari ini.
Entri oleh: Unknown

Bantahan hilang momentum

BANGKOK 16 Jan. - Kerajaan sementara Thailand, hari ini meminta kerjasama polis untuk menahan pemimpin kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan kerana mengugut mahu menahan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan melumpuhkan sebahagian kawasan di tengah ibu negara ini.

Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan, duduk berehat di khemah masing-masing sambil mendengar ucapan pemimpin mereka di persimpangan Asoke, Bangkok, Thailand, semalam.
Timbalan Perdana Menteri sementara, Surapong Tovichakchaikul berkata, tindakan penunjuk perasaan yang menganjurkan bantahan 'Tutup Bangkok' bagi menggulingkan Yingluck, dilihat semakin kehilangan momentum dengan jumlah peserta yang semakin berkurangan di jalanan.

Jelasnya, pemimpin pergerakan antikerajaan itu masih bergerak bebas di Bangkok dengan menyampaikan ucapan berbaur hasutan dan mengutip derma daripada penyokong, walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka atas kesalahan menyebabkan keganasan awam yang mengorbankan lapan orang dan mencederakan beratus-ratus lagi sebelum ini.

Seorang daripada pemimpin yang dikehendaki, iaitu ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berdepan dakwaan melakukan pemberontakan yang boleh dikenakan hukuman mati.

Suthep turut didakwa atas kesalahan membunuh ketika pihak tentera mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan pembangkang semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2010.

"Bekas anggota Parlimen pembangkang itu dilindungi kira-kira 40 pengawal peribadi.

"Jadi polis mempunyai tugas untuk menahan Suthep atau pihak berkuasa akan berdepan tuduhan bersubahat dengan beliau," kata Surapong selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Polis Thailand, Jeneral Adul Saengsingkaew.

Dalam pada itu, Adul berkata, kira-kira 7,000 penunjuk perasaan masih berada di sekitar Bangkok hari ini, berbanding 23,000 orang semalam.

Bagaimanapun beliau memberi amaran, angka berkenaan boleh meningkat selepas tamat waktu kerja.

"Ramai peserta perhimpunan itu telah pulang ke bahagian selatan negara ini," katanya.
Entri oleh: Unknown

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas